24 May 2016

Kembara Jakarta part 2

Sudah ikuti perjalanan untuk Hari 1 dan Hari 2? Jika belum klik Jakarta Part 1.

Monumen Nasional (MONAS) Tugu Ikonik Jakarta

Hari 3 

Perjalanan untuk hari 3 RT teruskan ke Tanah Abang Plaza. Daripada informasi supir Taxi RT bergerak awal untuk ke Tanah Abang. Dari Hotel RT menaiki taxi Blue Bird yang RT tunggu di hadapan Bangunan LTC Glodok. Walaupun dari LTC Glodok ke Tanah Abang tidak sampai 10km namun masa perjalanan menaiki taxi untuk sampai ke Tanah Abang 45 minit. Kesesakan jalan raya memang sinonim dengan bandar-bandar besar lebih-lebih lagi Jakarta. Kesesakkannya tiada penghujung sehinggakan lewat malam pun masih mengalami kesesakan.


Plaza Tanah Abang

Plaza Tanah Abang? Apa yang ada di sini?

Plaza Tanah Abang ialah Gedung textile terbesar di Indonesia. Ia menjual pelbagai jenis kain ela, pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak. Boleh dikatakan Plaza Tanah Abang ialah syurga membeli belah untuk kaum wanita. Kaedah penjualan dan pembelian disini ialah dengan cara lebih banyak dibeli lebih murah harga atau BORONG. Untuk mengetahui mengenai Plaza Tanah Abang Klik Di Sini.

Plaza Tanah Abang dibuka dari Hari Isnin hingga Sabtu dari Jam 8am hingga 3pm dan tutup pada hari Ahad.

Kesesakkan kota Jakarta bukan saja di atas jalan rayanya. Kesesakan sehinga ke dalam Plaza Tanah Abang. Dengan ramainya orang membeli dan memborong di sini sehinggakan berlanggar hidung untuk melalui lorong-lorong jualan di dalam Plaza Tanah Abang.


Diantara beberapa Kedai menjual Kain ela

Tanah Abang

Selain kain-kain ela, pakaian dan busana-busana, Plaza Tanah Abang juga ada menyediakan kedai menjual karpet-karpet, pelbagai jenis langsir siap dan sebagainya. Sesuai dengan gelaran Gedung Textile terbesar di Jakarta. Manis-maniskanlah mulut untuk tawar menawar dengan peniaganya.

Dengan kesesakan dan orang yang terlalu ramai, dinasihatkan untuk berhati-hati dengan maling-maling dan penyeluk saku. Jika membeli barang banyak sediakan beg untuk mambawanya kerana ada sesetangah peniaga kecil akan mengambil kesempatan menjual beg-beg atau karung besar dengan harga yang mahal.

Setelah selesai meronda di Plaza Tanah Abang RT kembali meronda-ronda pusat Kota Jakarta dengan pergi ke tempat menarik seperti Masjid terbesar di Asia Tenggara dan banyak lagi.

Masjid Istiglal

Jakarta Cathedral

Istana Merdeka Jakarta

Istana Merdeka Jakarta merupakan pejabat rasmi dan kediaman rasmi Presiden Republik Indonesia. Fungsinya seperti White House di Washington DC, USA.


Grand Indonesia

Grand Indonesia merupakan pusat membeli belah exclusive di Jakarta. Seperti Senayan City Mall untuk masuk ke Grand Indonesia juga perlu melalui saringan keselamatan di pintu masuk utamanya.

Pada sebelah malam RT mengunjungi Monumen Nasional Indonesia atau dikenali sebagai MONAS. Sebuah tugu yang tegak berdiri seperti KL tower, cuma ianya tidak setinggi KL Tower. Dataran terletaknya Monas amat luas mata memandang. Di sebabkan itu juga RT melawatnya di waktu malam kerana di siang hari keadan sangat panas dengan terik mentari.




Sedang RT melepak menikmati permandangan RT didatangi seorang remaja dengan sebuah gitar. Tanpa berlengah dia menyanyikan lagu dari Kumpulan Ungu untuk RT. Selesai menyanyi dia meminta seikhlas hati sumbangan duit. RT hulurkan IDR 10 000 dan dengan gembiranya dia beredar.

RT kembali meronda-ronda di sekitar kawasan Monas dan terdapat beberapa peniaga kecil menjual cenderahati di kawasan itu. RT membeli beberapa helai baju I Love Jakarta dengan harga borong untuk 3 helai dengan harga IDR 50 000. Selepas membeli beberapa helai baju RT kembali meronda den terserempak lagi dengan remaja yang menyanyikan lagu untuk RT. Dia tersenyum melihat RT dan RT mendekatkan diri kepadanya dan bertanya berapa upah yang dia selalu dapat untuk menghiburkan orang yang datang ke Monas. Kebiasaannya orang akan selalu menghulurkan IDR 1000 atau IDR 5000 kepadanya untuk satu lagu. Patutlah semasa RT menghulurkan IDR 10 000 kepadanya dia berlalu dengan begitu gembira sekali.


Hari 4 

Hari keempat merupakan hari terakhir RT berada di Jakarta. Memandangkan penerbangan RT pada 6:55pm RT gunakan masa yang tersisa untuk meronda lagi di Kota Tua Jakarta. Ianya terletak hanya 2km dari hotel tempat RT menginap. 

Dari LTC Glodok RT menaiki Angkutan Kota. Sebuah van kecil yang mengambil penumpang di tepi jalan. Tips untuk menaiki Angkutan kota ini ialah tanya arah tujunya jika tempat yang kita tujui dilalui naik secepat mungkin. Beritahu supir untuk berhenti jika mahu turun dan hulurkan IDR 1500 atau IDR 2500 kepada pembantu supir dan terus berlalu pergi jangan toleh lagi. Jika pembantu supir tidak memangil abaikan dia. Jika dia memangil hanya tambah lagi IDR 1000. Jangan sesekali bertanyakan tambang ke tempat yang ingin ditujui kerana mereka akan mengenakan tambang lebih tinggi daripada sepatutnya.


Angkutan Kota

Kota Tua merupakan bandar asal Jakarta. Ia juga dikenali sebagai Old Batavia. Ia menempatkan pelbagai bangunan bersejarah. Balai Kota atau pejabat Gabenor Jakarta yang kini dijadikan sebuah Museum. Dataran yang terletak di hadapannya ialah Dataran Fatahillah atau Fatahillah Square.

Fatahillah Square & Museum Kota Tua (Bekas Pejabat Gabenor Jakarta)

Dataran Fatahillah


Askar "Batu"

Djakarte Cafe



Selain itu di Kota Tua juga terdapat Station Keretapi Utama untuk Kota Jakarta. Station ini dikenali sebagai Stasiun Jakartakota. Station ini menghubungkan Pusat Bandar Jakarta ke seluruh kawasan kepulauan Jawa. Untuk ke wilayah lain di Kepulauan Jawa bolehlah menaiki keretapi daripada station ini.


Stasiun Jakartakota

Bank Indonesia


Sebelum RT kembali ke hotel untuk bersiap-siap kembali ke tanah air, RT singah di sebuah restaurant D'Omelette. Ianya hanya terletak bersebelahan dengan bangunan LTC Glodok. Ianya sebuah restaurant aneka makanan dari makanan tempatan sehingga makanan barat. Hanya menu saja yang RT sempat snap. Lihatlah cukai yang dikenakan untuk makan di Indonesia.


Harga Makanan dan cukai yang dikenakan

Restaurant D'Omelette Jalan Hayam Wuruk

Satu lagi peringatan sebelum ke Airport. Sediakan wang IDR 150 000 seorang untuk bayaran cukai lapangan terbang yang akan dikenakan semasa mendaftar masuk. Kebiasaannya cukai lapangan terbang telah dimasukkan sekali di dalam harga tiket yang telah kita beli. Namun di Indonesia cukai lapangan terbang akan dibayar terus kepada pihak Lapangan Terbang.

Balai daftar masuk perlepasan Antarabangsa T3

RT menaiki penerbangan Air Asia Indonesia QZ 8196 ke Kuala Lumpur, berlepas pada 6.55pm (GMT+7) dan ETA di Kuala Lumpur pada 9.55pm (GMT+8).

Bagi yang belum mengikuti Kembara RT ke Jakarta untuk hari 1 & 2 dengan klik ->Jakarta Part 1.










23 May 2016

Kembara Jakarta

Jakarta Skyline

Hari 1.

Jakarta, Indonesia. Kota Sinetron yang memegang rekod tempat pertama Bandaraya berpenduduk paling ramai di dunia. Perjalanan RT ke Kota Sinetron selama 4 hari 3 malam dengan menaiki penerbangan Air Asia dari LCCT Kuala Lumpur dengan  penerbangan AK 1388 Kul-CGK yang berlepas pada 6:50pm waktu Malaysia dan perjalanan mengambil masa selama 2 jam dan ETA di Soekarno Hatta International Airport Jakarta pada 7:55pm waktu Indonesia Barat.

Indonesia menggunakan Zon masa GMT +7 maka perbezaan masa dengan Malaysia hanya 1 jam. RT selamat tiba di Soekarno Hatta International Airport dan keluar melalui pintu Terminal 3. Terminal 3 merupakan terminal keberangkatan dan ketibaan untuk Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia dan beberapa syarikat penerbangan tambang murah yang lain. Jika menaiki pesawat selain daripada Air Asia maka anda akan turun di Terminal 2 ketibaan antarabangsa.


T3 Soekarno Hatta Int. Airport


Sejurus tiba RT mencari taxi yang paling boleh dipercayai iaitu taxi Blue Bird untuk ke tempat penginapan RT di pusat kota Jakarta. Perkhidmatan taxi limousin Airport juga boleh digunakan namun kos tambangnya agak mahal. AWAS dengan pemandu-pemandu taxi haram yang akan memperkanalkan diri anda dengan Kad Kelulusan Membawa taxi. Rata-rata dikalangan mereka tidak boleh dipercayai dan akan mengenakan tambang yang mahal untuk penghantaran ke destinasi yang dituju. Namun jika anda pandai untuk tawar menawar bolehlah mencuba nasib.

Taxi Blue Bird

Setelah berpusing-pusing mencari taxi blue bird yang kosong namun tidak dijumpai maka RT memberanikan diri membuat tawar menawar dengan "supir" taxi haram. Akhirnya RT bertemu dengan seorang pemandu yang dari segi rupanya boleh dipercayai dan tawar menawar dengan beliau untuk menghantar RT ke tempat RT menginap. Akhirnya persetujuan dengan supir berkenaan yang mengenakan tambang sebanyak IDR 220 000 lebih kurang MYR 60 mengikut tukaran wang masa itu MYR 1 = IDR 3720. 
Tambang yang dikenakan supir itu memang lebih murah berbanding kos Taxi limousin airport yang mengenakan bayaran sebanyak IDR 300 000. Pemandu taxi yang RT naiki memang seorang yang baik. Dia secara jujurnya menyatakan tidak mahu mengenakan cas lebih kepada penumpang kerana mahu mendapat Rezeki yang halal. Dia juga pernah pergi ke Kuala Lumpur bersama keluarganya dan menaiki taxi di Kuala Lumpur dan berkenalan dengan seorang pemandu taxi yang baik hati. Disebabkan itu juga dia bersikap baik hati dengan RT memandangkan RT datang daripada Malaysia.

RT menginap di Fave Hotel LTC Glodok. Hotel yang terletak di pusat Bandar Jakarta. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam untuk sampai ditambah lagi dengan kesesakkan lalulintas yang amat teruk sekali. Kos Penginapan RT di FaveHotel LTC GLodok ialah MYR 297.44 untuk 4 Hari 3 Malam.

Bangunan LTC Glodok

FaveHotel terletak di tingkat 8 bangunan LTC Glodok. Jika menaiki taxi untuk ke sini hanya beritahu pemandu untuk masuk melalui tempat parking bertingkat dan terus ke tingkat 8. Jika berjalan untuk ke sini boleh menaiki lif yang terletak di belakang bangunan ini dan pintu masuk untuk ke lift terletak di sebelah Seven Eleven sahaja.
Untuk review FaveHotel Klik Di Sini.

Bilik FaveHotel


Seven Eleven yang terletak di bahagian belakang LTC Glodok

Memandangkan RT sampai lewat malam ke tempat penginapan RT hanya memesan makanan Room Service yang ada disediakan oleh pihak hotel. Yang hebatnya Room Servis makanan buka untuk tempahan 24 jam. Harga yang dikenakan juga berbaloi dengan makanan yang disediakan.

Hari Ke 2.

Pemandangan Timur Kota Jakarta di tingkat 10 FaveHotel

Hari ke 2 dimulakan seawal 8 pagi waktu Indonesia. RT berhasrat untuk ke Mangga Dua Shopping Complex. Pengangkutan utama yang RT gunakan di Jakarta ialah Taxi Blue Bird. Menggunakan taxi di Jakarta memang menjimatkan kerana mereka hanya mengecaj hanya menggunakan meter dan ianya lebih murah daripada caj taxi di Kuala Lumpur. Dengan bantuan pihak reception hotel yang menghubungi taxi Blue Bird mengambil RT di hadapan pintu hotel. Kebaisaannya Taxi Blue Bird bewarna biru akan mengenakan caj permulaan IDR 6000 namun taxi yang menjemput RT ialah taxi Blue Bird executive bewarna hitam Honda Accord. Namun Caj permulaan tidaklah semahal yang difikirkan. Caj permulaan dikenakan IDR 7000.

No. yang boleh dihubungi Untuk Taxi Blue Bird

Mangga Dua Square


Mangga Dua Square ialah salah satu tempat membeli belah di Jakarta. RT tiba di Mangga Dua Square pada 9am. Kebanyakan kedai masih lagi tutup dan dibuka pada jam 11am. Memandangkan jam masih lagi awal dan rata-rata kedai masih lagi tutup RT hanya bersarapan di Big Apple doughnut cafe. Di sini juga RT membeli sim card untuk tidak terputus hubungan dengan internet.

Bagi tidak membuang masa dengan menunggu kedai dibuka RT pergi ke Taman Miniatur Indonesia Indah atau TMII. TMII terletak di tenggara Pusat Kota Jakarta yang jaraknya lebih kurang 28 KM dari Mangga dua Square. Pengangkutan yang RT guna tak lain tak bukan Blue Bird Taxi. Dengan kos IDR 120 000 RT sampai di TMII. Apa yang ada di TMII? Klik Di Sini.

Gerbang Masuk Ke TMII

Bayaran masuk untuk seorang yang berumur 3 tahun ke atas ialah IDR 10 000 dan percuma untuk bawah 3 tahun. Dengan mengunjungi TMII kita boleh dikatakan pusing habis seluruh Indonesia Raya kerana di TMII terdapat pelbagai rekabentuk bangunan yang melambangkan setiap wilayah di Indonesia.

 Anjung Sumatera Barat

Anjung Jogjakarta

Anjung D.I Jogjakarta

Anjung Bali 

Anjung Bali


Anjung Bali


Anjung Kalimantan

Anjung Istana Anak-Anak

TMII sangat besar dan luas. Jika berjalan kaki RT rasa memang tidak dapat pergi ke seluruh tempat. Banyak lagi Anjung-anjung yang RT lawat tetapi tiada gambar disertakan kerana terpegun dan terpesona dengan rekabantuk laman-laman yang disediakan sehingga lupa untuk bergambar di setiap anjung yang RT singgah.

Untuk bersiar-siar di sekitar TMII RT menyewa motosikal electric yang boleh didapati di sebelah Tourist Information Counter dengan kadar sewa IDR 50 000 untuk 2 jam.

Motosikal Electric untuk meronda TMII

Setelah habis TMII dirondai RT meneruskan kembali perjalanan ke tempat lain pula. Dengan menaiki taxi RT pergi ke Senayan City Mall. Shopping complex yang terkenal di Jakarta.

Sepanjang Perjalanan RT di dalam Taxi ke Senayan City Mall RT dapati bangunan-banguna yang dibina di Jakarta amat memukau jiwa memandang. Dengan latar belakang RT yang menpelajari senibina RT sematkan beberapa gambar bangunan yang menarik perhatian RT.

Da Vinci Building

BNI 49 Building, Bangunan Paling Tinggi di Indonesia


Manulife Building


Menara BCA


Plaza Semangi


Tower 8- Wisma Indofood


UOB Bank Tower


Indonesia, khususnya Jakarta memang terkenal dengan Tugu-tugu peringatan. Di sepanjang perjalanan RT melihat begitu banyak sekali tugu-tugu yang dibina untuk memperingati atau menghargai jasa-jasa pemimpin indonesia terdahulu. Selain tugu pemimpin ada juga terdapat tugu-tugu yang RT rasakan pelik.

Tugu Jenderal Sudirman

Digartara Statue

Semasa dalam perjalanan menuju ke Senayan City Mall supir taxi membawa RT melalui Stadium di mana perlawanan Piala AFC Suzuki diantara Malaysia dan Indonesia diadakan. Stadium Bung Karno.

 Pintu Masuk Utama Stadium Bung Karno

Akhirnya RT sampai ke Senayan City Mall. Agak kejakunan juga RT semasa menjejakkan kaki ke dalam Senayan City Mall. Manakan tidak untuk masuk ke dalam hendaklah melepasi saringan keselamatan seperti yang terdapat di Airport sebelum masuk ke Balai perlepasan. Tujuan pihak pengurusan membuat saringan keselamatan untuk mengelakkan sesuatu yang buruk berlaku seperti membawa senjata berbahaya atau membawa bahan letupan. Senayan City Mall merupakan pusat membeli belah yang terkemuka di Jakarta. Semua jenama-jenama antarabangsa ada dijual disini.


Saringan Keselamatan Sebelum Masuk

Di Dalam Senayan City


Permandangan dari Food Court Senayan City

Kelihatan taxi Blue Bird. Taxi yang paling dipercayai di Jakarta.
Jika di Malaysia Toyota Vios menjadi perhatian anak-anak muda dan diidamkan untuk memilikinya. Namun di Jakarta ianya hanya sebuah Taxi.

Di Luar Senayan City

Gedung Senayan City Mall

Di hadapan Senayan City mall terdapat satu lagi pusat membeli belah iaitu Senayan Plaza. Namun RT tidak berkesempatan untuk masuk ke dalamny.

Plaza Senayan

Perjalanan diteruskan lagi sehingga ke malam. RT bercadang untuk ke Plaza Tanah Abang tapi dari info supir taxi Blue Bird Plaza Tanah Abang tutup pada Jam 330 petang. Maka supir tersebut menghantar kami ke Thamrin City Plaza. Barangan yang dijual di Thamrin City lebih kurang sama di Plaza Tanah Abang namun tidak setanding dengan apa yang terdapat di Plaza Tanah Abang. Nanti RT ceritakan apa yang ada di Plaza Tanah Abang. Di Thamrin City Plaza menjual pelbagai jenis kain untuk dijadikan baju. Selain kain-kain ela terdapat juga baju-baju siap dijual dengan harga yang berpatutan.

Pintu Masuk Thamrin City Plaza

 Jalan Husni Thamrin

Bumble Bee versi Kain Batik

Walaupun Jam sudah menunjukkan jam 8 malam waktu Indonesia namun kaki RT belum menunjukkan tanda-tanda sudah penat. Maka RT lanjutkan perjalanan RT ke tempat Ikonik Jakarta iaitu Bundaran Hii atau dikenali sebagai Bulatan Tugu Selamat Datang. RT menaiki beca dari Thamrin City Plaza ke Bundaran Hii dengan bayaran yang diminta pengayuh beca IDR 20 000.

Tugu Selamat Datang berlatar belakangkan Grand Hyatt hotel (kiri-depan) Plaza Indonesia (kiri-belakang) dan Grand Indonesia (kanan)

Tugu Selamat Datang, Bundaran Hii

180 darjah View Tugu Selamat Datang, Bundaran Hii

Tugu Selamat Datang di Bundaran Hii amat sesuai dijadikan tempat melepaskan penat seharian berjalan sambil menikmati hiruk-pikuk kesibukan Kota Jakarta. Di sini juga terdapat penjaja kecil-kecilan menjual kopi 3 in 1 yang boleh dibeli dengan harga IDR 2500 hingga IDR 3500. Rata-rata penjaja air kopi di sini datang daripada orang yang susah. Timbul rasa kasihan jika tidak membeli daripada mereka. Dengan seorang makcik RT belikan 2 cawan kopi 3 in 1 yang dibancuh dihadapan RT sendiri dengan dirinya memikul kehulu-hilir termos air panasnya dan dinikmati di tengah-tengah kota sinetron ini.

Dah jejak kaki ke Kota Jakarta ini mesti peminat-peminat sinetron pernah melihat gerai-gerai makanan tepi jalan. Pernah juga RT mencuba sejenis dua makanan yang dijual untuk merasai sendiri apakah dan bagaimana rasa makanan yang dijual itu. Namun dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memilih makanan kaki lima (street food) yang di jual di Jakarta.


Masakan Padang

Memilih rumah makan di Jakarta memang agak senang. Ianya terdapat dimana-mana saja di seluruh pelusuk kota Jakarta. Namun untuk menentukan ianya Halal atau tidak amat sukar sekali. Manakan tidak rupa penjual-penjual makanan semuanya serupa bagi RT. Baik yang muslim ataupun bukan. Bahasa percakapan mereka juga sukar dibezakan kerana semuanya menggunakan bahasa Indonesia untuk berkomunikasi. Maka janganlah takut dan malu untuk bertanya kepada mereka. Perhatikan dan nilaikan sebaiknya sebelum membuat keputusan untuk makan di rumah makan yang diingini.

Gerai menjual pelbagai jenis cucur

Satu lagi makanan kaki lima (street food) yang popular di Jakarta. Gerai sorong yang menjual pelbagai jenis cucur. RT sarankan untuk berhati-hati memilih dan membeli makanan dari gerai-gerai sorong ini. Selain status halal yang diragui faktor kebersihan juga pelu dititik beratkan. Bukannya RT mengatakan tidak boleh namun nilailah dan perhatikan sebelum membeli. Tips yang RT boleh katakan ialah perhati, bertanya dan nilaikan. Kalau kena dengan tempatnya memang kena sekali nak lagi.

Coretan yang panjang untuk Kisah kembara RT ke Jakarta untuk Hari 1 dan Hari 2. Ikuti sambungan Kisah Kembara Jakarta untuk Hari 3 dan Hari 4 dengan klik -> Jakarta Part 2.










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...